Ticker

6/recent/ticker-posts

Macam Mana Nak Mula Labur Saham?


Jujurnya, saya bukanlah mahir sangat dengan pelaburan saham, hanya secubit pengalaman sahaja.
Tetapi, jika dilihat trend sekarang, memang makin ramai yang punyai kesedaran untuk mula melabur dalam pelaburan saham.
Mungkin kerana semakin banyak promosi dilakukan oleh pihak-pihak berkepentingan yang berjaya menyuburkan minat orang ramai.

Mungkin juga kerana keadaan ekonomi sekarang yang dirasakan semakin baik, menjadi tarikan kepada orang ramai untuk mendapatkan keuntungan melalui pelaburan saham.
Lihat sahaja Indeks FBM KLCI Bursa Malaysia yang berikut, nampak trend menaik daripada tempoh setahun yang lepas.
Jika anda juga salah seorang yang tertarik untuk mulakan pelaburan saham, nasihat saya, jangan tergopoh-gapah.
Jangan pula hanya mengikut trend semasa, pastikan pelaburan yang dibuat nanti ada tujuan dan objektifnya.
Dan yang paling penting, jangan terlalu mengharapkan keuntungan segera daripada pelaburan saham; ini bukan skim cepat kaya.
Bagi mereka yang berminat nak belajar cara mula pelaburan saham yang betul, saya sarankan untuk ikut langkah-langkah yang berikut:
Langkah mula pelaburan saham #1 – Belajar perkara asas berkenaan pelaburan saham
Kata pujangga, “Jika kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan di duga”
Begitu juga dengan pelaburan saham.
Kalau tidak belajar dan punyai pengetahuan asas, jangan pula terburu-buru untuk terlibat sama.
Jangan hanya sekadar terikut-ikut dengan orang lain yang dah lama melabur.
Oleh itu, bagi bakal pelabur baru, dinasihatkan untuk belajar dulu perkara-perkara asas berkenaan pelaburan saham sebelum mula melabur.
Kenal pasti istilah-istilah yang digunakan dan fahamkan maksudnya.
Belajar tentang cara jual beli saham dan bagaimana kenal pasti kaunter-kaunter berpotensi.
Untuk belajar perkara-perkara asas ini, tak perlu keluarkan belanja yang banyak.
Boleh juga sertai seminar-seminar pelaburan saham percuma sama ada yang dianjurkan agensi-agensi kerajaan atau pakar-pakar pelaburan.
Atau pun, belajar daripada remisier-remisier atau dealer-dealer semasa buka akaun CDS dan trading nanti.
Lebih mudah lagi, boleh belajar daripada laman web seperti BursaMarketPlace.
Tidak digalakkan untuk terus sertai bengkel advance yang berharga mahal; takut nanti ter’overload’ pula.
Langkah mula pelaburan saham #2 – Buka akaun CDS & trading
Apabila dah tahu serba-sedikit perkara-perkara asas berkenaan pelaburan saham, dah rasa yakin nak mula, cepat-cepat bertindak untuk buka akaun CDS dan trading.
Pilih syarikat broker yang sesuai dan terus buka kedua-dua akaun tersebut.
Jangan tangguh lama-lama, takut nanti hilang momentum.
Modal nak buka akaun CDS dan trading tidak tinggi pun, hanya perlukan bayaran RM 10.60, salinan MyKad dan penyata akaun bank.
Langkah mula pelaburan saham #3 – Sediakan modal pelaburan sanggup hangus
Dalam sesuatu pelaburan, rugi itu pasti, untung belum tentu.
Lebih-lebih lagi bagi pelaburan yang agak berisiko seperti pelaburan saham.
Oleh itu, bagi pelabur baru yang baru nak mula pelaburan saham, digalakkan supaya sediakan modal yang mampu hangus dahulu untuk bermula.
Jangan pula guna duit untuk kahwin, atau untuk deposit pembelian rumah, atau deposit pembelian kereta, sebagai modal awal pelaburan saham.
Atau duit untuk pembelian barang-barang keperluan seharian untuk diri-sendiri atau ahli keluarga.
Senang cerita, pastikan modal awal yang disediakan tersebut adalah duit lebihan yang tidak diperlukan dalam masa terdekat.
Yelah, mana tahu nanti apabila melabur, modal tersebut hangus, susah pula nak tampung perbelanjaan-perbelanjaan penting yang lain itu.
Dan lebih penting lagi, pastikan modal tersebut adalah duit sendiri, bukan dipinjam daripada orang atau pun pihak lain.
Berapa banyak modal yang diperlukan?
Sebagai permulaan bagi pelabur baru, saya rasa, modal awal sekitar RM 3,000 ke RM 5,000 adalah memadai.
Langkah mula pelaburan saham #4 – Beli beberapa kaunter saham
mula pelaburan sahamAkaun CDS dan trading dah ada, modal awal pun dah ada, maka sekarang bolehlah cuba beli beberapa kaunter saham yang dirasakan berpotensi.Dapatkan bantuan dealer atau remisier untuk menggunakan online trading platform daripada syarikat broker yang mana akaun CDS dan trading dibuka.
Biasakan dengan kepelbagaian nama kaunter saham, butang beli dan jual, harga beli dan jual, serta tempoh pengesahan transaksi.
Belilah 1 atau 2 kaunter saham yang dirasakan berpotensi; gunakan kemahiran asas yang dipelajari untuk menilai kaunter saham mana yang terbaik untuk dibeli.
Tak kisah nak guna kemahiran analisa fundamental, teknikal atau gabungan kedua-duanya, yang penting, jangan semberono membeli kaunter saham.
Buat pilihan yang bijak berdasarkan ilmu yang dipelajari.
Langkah mula pelaburan saham #5 – Pantau prestasi kaunter, buat penilaian
Bagi pelabur baru, digalakkan untuk wujudkan jurnal pelaburan saham sendiri.
Dalam jurnal tersebut, catatkan butiran kaunter-kaunter yang dibeli; harga beli, jumlah unit, kos-kos terlibat, modal, sebab membeli.
Dari semasa ke semasa, perhatikan prestasi kaunter-kaunter yang dibeli; adakah membawa kegembiraan atau sebaliknya.
Tetapi, tak perlulah sampai setiap hari nak tengok harga kaunter saham yang dibeli.
Boleh buat penilaian dalam tempoh lebih panjang, contohnya setiap 2 minggu atau sebulan.
Kalau rasa kaunter dah mencapai keuntungan yang dikehendaki, atau rugi ke tahap yang sudah tidak dapat ditanggung lagi, mungkin boleh dijual.
Jangan lupa untuk catatkan dalam jurnal pelaburan berkenaan sebab mengapa sesuatu kaunter dijual berserta butiran-butiran yang lain.
Langkah mula pelaburan saham #6 – Belajar dan terus belajar
Selepas dah rasai sendiri pengalaman awal melabur dalam pelaburan saham menggunakan modal awal yang sanggup hangus, sekarang nilaikan, adakah pelaburan saham sesuai dengan diri-sendiri?
Adakah tabah melihat harga kaunter jatuh sehingga 50% daripada harga awal?
Atau sampai tidur tak lena memikirkan kerugian yang dialami?
Kalau rasa pelaburan saham memang memenuhi apa yang dikehendaki dan masih berminat untuk teruskan, maka teruskan sahaja.
Sekarang, bolehlah keluarkan sedikit duit untuk hadiri seminar atau bengkel advance berkenaan pelaburan saham, yang biasanya yuran sudah pasti mahal.
Boleh cari mentor berwibawa untuk membimbing perjalanan pelaburan saham anda.
Tambahkan lagi modal untuk melabur dalam pasaran saham.
Belajar dan terus belajar sampai jadi pakar pelaburan saham, sekurang-kurangnya untuk diri-sendiri.
Penutup
Itulah sahaja langkah-langkah yang dicadangkan bagi pelabur baru berminat untuk mula pelaburan saham secara serius.
Mungkin ada yang beranggapan, pasaran saham adalah lubuk untuk mendapatkan duit dengan pantas.
Beli saham pagi ini, tunggu harga naik, jual waktu petang, dapat untung!
Ya, memang ada yang buat sebegitu, dan mereka lebih dikenali sebagai trader atau speculator, bukan pelabur atau investor.
Mereka mempunyai kemahiran dan sumber-sumber yang mencukupi dari segi kewangan, data dan maklumat untuk menjadikan pasaran saham sebagai lubuk duit pantas dan lumayan.
Memang dah game mereka.
Bagi bakal pelabur yang baru nak berkecimpung dalam pelaburan saham, dinasihatkan supaya tidak terlalu berharap untuk mendapatkan duit pantas daripada pasaran saham.
Bermulalah perlahan-lahan sepertimana yang dicadangkan di atas.
Go slow, be careful.
Sampai masa nanti, anda boleh juga menjadi pelabur yang berjaya.
Itu sahaja untuk kali ini, kita jumpa lagi dalam perkongsian yang lain.
p/s: Kalau rasa perkongsian kali ini bermanfaat, jangan lupa untuk kongsikan ya! Terima kasih.

Post a Comment

0 Comments