Ticker

6/recent/ticker-posts

Cuci Duit Atau Pengubahan wang haram.

Salah satu perkara yang menjerat ekonomi dunia kita saban hari adalah adanya aktiviti money laundering atau lebih dikenali sebagai cuci duit.  Dalam bahasa baku, ia juga dikenali dengan istilah pengubahan wang haram.

Wang haram dikaitkan dengan aktiviti haram di mana perniagaan atau aktiviti yang dilakukan adalah secara tidak sah dan salah di sisi undang-undang serta merupakan perkara yang tidak bermoral. Contoh aktiviti haram adalah aktiviti pelacuran, rasuah, jual beli dadah, pemerdagangan manusia dan lain-lain lagi.
Jadi, macam mana nak bawa duit tunai berjuta-juta tu?
Maka di sinilah bermulanya proses cuci duit atau money laundering. Analogi paling senang adalah kita masukkan duit yang ‘kotor’ ke dalam mesin basuh. Selepas dicuci, keluarlah duit yang ‘bersih’.

Definisi Cuci Duit

Secara umum, cuci duit bermaksud membersih atau menyembunyikan sumber wang sebenar yang tidak elok dengan cara memperlihatkan duit tersebut kelihatan seperti berasal dari sumber yang sah.
5 Ciri-Ciri Pengubahan Wang Atau Money Laundering:
  1. Transaksi melibatkan aktiviti haram atau tidak sah
  2. Hasil yang diterima adalah daripada aktiviti tidak sah
  3. Tidak mempunyai pendaftaran perniagaan dan syarikat tidak sah
  4. Terpaksa merahsiakan aktiviti atau dilakukan secara sembunyi-sembunyi
  5. Melibatkan penipuan data dan mengaburi mata orang ramai

Kenapa Wujudnya Cuci Duit?

Apabila seseorang menjana pendapatan daripada sumber yang tidak sah seperti aktiviti jenayah, penyeludupan senjata, dadah, pelacuran, perjudian haram, pemalsuan pasport serta penyeludupan manusia dan sebagainya; wang tersebut akan menimbulkan keraguan bagi pihak bank yang menguruskan transaksi kewangan.
Sebagai contoh, pendapatan menjual dadah dalam sebulan boleh mencecah sehingga RM150,000, tetapi mengikut rekod individu terbabit hanyalah bekerja makan gaji sebanyak RM1,500 sebulan. Pihak bank akan menyiasat dari manakah datangnya wang ratusan ribu yang masuk ke dalam akaun setiap bulan. 
Penjenayah tahu institusi kewangan seperti bank atau pengurup wang akan membuat laporan (Suspicious Transaction Report – STR) kepada Bank Negara Malaysia jika ada transaksi keluar masuk duit yang meragukan.
Bagi mengaburi mata pihak berkuasa, di sinilah aktiviti cuci duit akan dibuat. 

Bagaimana Penjenayah Cuci Duit?

Mereka akan membuka perniagaan yang sesuai dengan jumlah income yang mereka terima daripada aktiviti haram. Sebolehnya mereka juga tidak akan menggunakan transaksi perbankan dalam rutin harian mereka, semuanya akan menggunakan wang tunai. 
Sebagai contoh, kartel yang terlibat dalam aktiviti jualan dadah mengambil langkah untuk membuka syarikat pemaju hartanah sebagai inisiatif bagi menutup sumber wang haramnya itu (atau paling mudah beri saja modal dan acah-acah JV dengan syarikat pemaju yang lain).
Teringat seorang banker pernah buka cerita yang ada pelanggan mereka akan memohon pinjaman tetapi lepas sebulan akan bayar balik pinjaman itu secara full payment. Logiknya bila pihak berkuasa tanya dari mana sumber modal, bolehlah tunjuk dokumen dan cakap pinjam dari bank.
Oleh itu, pihak berkuasa akan juga melihat bahawa segala keuntungan dan wang keluar masuk ke akaun bank syarikat tersebut datangnya dari perniagaan hartanah, sedangkan sumbernya adalah wang haram dari aktiviti jenayah tadi.
Begitulah konsep mudahnya.
Mengapa duit tu boleh jadi suci pula? Sebab, transaksi perniagaan itu dibuat melalui cara yang sah.
Logiknya kalau semak akaun syarikat mesti akan lapor rugi. Yelah, buat apa nak lapor untung dan bayar pula cukai dekat LHDN?
Tiba-tiba teringat dekat hotel-hotel 3 bintang yang bersepah di ibu kota yang nampak sendu tetapi masih bertahan sampai sekarang.
Terdapat banyak lagi cara cuci duit. Salah satunya adalah dengan mencuci duit di kasino.

Cuci Duit Dengan ‘Berjudi’ Di Kasino

Teknik cuci wang di kasino ini dengarnya popular juga. Salah satu kasino terbesar di Asia Tenggara amat terkenal dengan aktiviti money laundering. Cuci duit berlaku di kasino dengan cara manipulasi cip.
Wang haram akan ditukar dengan cip secara rahsia (beli dari penjudi-penjudi lain) dan menukarkan semula cip tadi kepada bentuk cek di kaunter.
Cek tersebut pula digunakan untuk ditunjukkan kepada pihak berkuasa atas alasan menang judi, sedangkan dia tak berjudi pun! Paling mudah untuk cuci wang di kasino kerana ia akan berjalan lancar jika melibatkan ramai pemain.
Kaedah manipulasi lain juga pernah didedahkan sebelum ini di akhbar mainstream:

Trend Tersembunyi Cuci Duit

Cuci duit dengan berjudi ini kerap kali berlaku di Malaysia dan luar negara. Selain menukarkan wang kepada cip dan berjudi, individu yang tidak bertanggungjawab juga mungkin akan menggunakan akaun bank orang lain untuk pecahkan wang yang banyak tadi menjadi kecil supaya tidak dapat dikesan.
Sebagai contoh, mereka menggunakan akaun bank isteri, anak-anak, adik-beradik dan pihak yang terdekat (proksi). Ada juga yang membeli rumah atau hartanah sebagai aset malah ada yang beli rumah atas nama orang lain.
Fikirlah banyak kali sebelum dengan mudah nak beri kebenaran kepada orang lain atau syarikat di luar sana untuk menggunakan nama kita dalam sebarang transaksi kewangan / urusan pembelian.
Kepada peminjam-peminjam Ah Long, fikirlah juga banyak kali sebelum nak beri kad ATM beserta nombor pin kita kepada mereka.
Realitinya, aktiviti cuci duit yang berkait rapat dengan pengubahan wang haram ini masih berleluasa. Ia melibatkan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (Akta 613)
Elakkan perkara yang berkaitan cuci duit dan segera laporkan kepada pihak berkuasa jika anda ada maklumat. Kita semua mampu mengubahnya demi generasi yang akan datang.

Post a Comment

0 Comments